Wednesday 8 April 2015

Bedil Buluh

Definisi 

Permainan bedil buluh ialah sejenis permainan perang olok-olok.

Tujuan Permainan
Menguji kecekapan menembak para pemain.

Kumpulan Target

Kanak-kanak lelaki yang berusia antara tujuh dan dua belas tahun.

Tempat

Semak-samun atau kawasan yang banyak pokok, untuk mudah bersembunyi.

Peralatan

Senapang buluh buatan sendiri dan peluru.


Pengenalan

          Senapang buluh terdiri daripada tiga bahagian, iaitu bahagian laras, pelantak dan pemegang pelantak(Rajah 2.1). Bahagian laras dibuat daripada buluh pagar yang berlubang. Panjangnya lebih kurang sekaki. Bahagian pelantak dibuat daripada buluh pagar yang kecil yang boleh dicucuk ke dalam laras senapang tadi. Ukuran pelantak mestilah pendek sedikit daripada laras senapang. Pelantak ini mempunyai pemegang yang dikerat pendek yang sama besarnya dengan laras senapang. Peluru untuk bedil buluh ini biasanya adalah buah cenderai atau kertas surat khabar yang dibasahkan dan digentel sebesar lubang senapang.

  


Cara Bermain

          Pemain akan dibahagikan ke dalam dua pasukan, iaitu pasukan penyerang dan pasukan bertahan. Sebelum memulakan permainan, kedua-dua pasukan menguji senapang masing-masing. Ujian dilakukan dengan cara menghentak peluru ke dalam laras senapang. Kemudian pelantak dimasukkan ke dalam laras dan ditolak kuat sehingga peluru itu meluncur keluar dengan mengeluarkan bunyi letupan.

          Ahli-ahli pesukan penyerang akan memulakan permainan dengan cuba mencari dan menembak pasukan bertahan yang sedang bersembunyi. Pasukan bertahan pula akan cuba memerangkap dan juga menembak pasukan yang menyerang. Pemain yang terkena tembakan dikira 'mati". Keadaan berbalas tembakan ini berterusan sehingga kesemua pemain dalam sesuatu pasukan terkena tembakan. Tembakan hanya boleh dilakukan di bahagian badan. Sebarang tembakan di kepala dikira batal.

          Setelah selesai pusingan ini, kedua-dua pasukan akan bertukar peranan. Pasukan yang menyerang menjadi pasukan bertahan dan pasukan bertahan pula menjadi pasukan penyerang. Begitulah dilakukan sebanyak beberapa pusingan sehingga permainan tamat.

          Cara mendapatkan mata ialah dengan mengira bilangan ahli pasukan yang tidak "mati" setelah sesuatu pusingan ditamatkan. Pasukan yang paling banyak mendapat mata dikira menang.